INGAT 1
Ingatlah kebaikan orang kepada kita.
Setiap kebaikan yang orang lakukan kepada kita, ingat-ingatkan selalu. Ia menerbitkan rasa betapa bertuahnya diri sering menerima kebaikan itu. Namun dalam banyak-banyak pihak yang memberikan kebaikan, ingatlah kebaikan Pihak yang paling berjasa kepada kita iaitulah ALLAH.
Jika kita bertuah memiliki ibu bapa yang penyayang, isteri yang baik hati, suami yang luhur budi, anak-anak penyejuk mata dan hati, tidak teringinkah kita untuk mengetahui siapa Pengirim semua itu kepada kehidupan ini?
LUPA 1
Di samping mengingati kebaikan orang kepada kita, lupa-lupakanlah kebaikan yang pernah kita lakukan kepada sesiapa. Jangan diungkit-ungkit, jangan disebut-sebut. Apatah lagi dengan tujuan mahu menyakiti.
"Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan Hari Akhirat" (Al-Baqarah: 264)
Dan jangan sekali-kali diungkit ibadah kita kepada-Nya.
Segala-galanya terlalu halus, remeh dan kecil, jika dibandingkan dengan mana-mana nikmat yang pernah dikurniakan-Nya kepada diri ini.
INGAT 2
Setelah bercakap tentang kebaikan, ada seperkara yang perlu diingat selalu.
Ingat-ingatlah keburukan dan kesalahan yang pernah kita lakukan kepada manusia. Kenang selalu kesilapan kita pada tutur kata dan tingkah laku, jangan mudah dipadam dan dibiarkan pergi tanpa ada pelajaran yang diambil darinya.
Kenangkan ia, ingatkan selalu.
Bukan untuk menyeksa diri, tetapi agar berhati-hati.
Dalam banyak-banyak keburukan yang pernah kita lakukan kepada sesiapa, dosa dan kejahatan kita terhadap Allah itulah yang paling melata, setiap detik dan masa.
Istighfar selalu… kenang-kenangkan salah kita kepada Dia.
Sesungguhnya dosa yang paling merbahaya ialah apabila tiada rasa berdosa. Lupa pada segala jahat kita kepada-Nya, dek satu ujian yang ditimpakan-Nya ke atas kita.
Ingat-ingatlah kekurangan diri ini, kesilapan dan kesalahan yang pernah dilakukan selama ini, bukan untuk menyeksa diri, tetapi agar berhati-hati.
LUPA 2
Manakala keburukan dan kesalahan orang kepada kita, lupa-lupakanlah ia.
Manusia yang paling tidak bahagia ialah manusia yang gagal memaafkan kesalahan orang terhadapnya. Berdendam siang dan malam, memikul beban sepanjang masa.
Orang yang dimarahi sudah pun menyambung hidup gembira hati, kita yang gagal memaafkan dia, terus terseksa mengheret dirinya ke dalam diri, ke sudut mana sekali pun kita pergi.
Deritanya hidup jika gagal memberi maaf, gagal melupakan salah orang kepada kita.
(dipetik dengan sedikit pengubahsuaian daripada www.saifulislam.com)
Saturday, March 20, 2010
Ingati 2 & Lupakan 2
Posted by shiela at 8:46 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment